JOHOR BAHRU – Polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyerbu dan merampas barangan tiruan berjenama mewah bernilai RM2.5 juta di Taman Austin dan Taman Gaya, Ulu Tiram, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan JKDM Johor melakukan dua serbuan berasingan di premis perniagaan.
“Operasi besar-besaran menerusi Op Paten 1 itu menahan empat individu termasuk seorang wanita warga Vietnam. Semua suspek berumur 40-an yang ditahan berperanan sebagai pemilik dan juga penjaga premis.
“Bertindak atas maklumat risikan dan pemantauan awal kita melancarkan operasi ini bagi membanteras penjualan barangan tiruan berjenama di pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi membawa kepada penemuan ribuan unit barangan tiruan mewah.
“Antara barangan yang dirampas termasuk beg tangan berjenama Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Hermes dan Dior. Selain kasut tiruan berjenama Miu Miu, Balenciaga, Fendi dan Hermes.
“Turut dirampas jam tangan jenama Rolex, Versace serta YSL. Polis turut merampas pakaian dan aksesori mewah seperti Prada Burberry dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM2.5 juta.
Semua individu yang ditahan katanya, sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan tanpa kelulusan kastam.
Menurut Raub, wanita warga Vietnam berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) dan 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja.
Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada JKDM Johor untuk tindakan lanjut, katanya.
“Suspek wanita pula direman di bawah tahanan PATI bermula 19 Jun hingga 2 Julai depan,” latanya.
Pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penjualan barangan tiruan di pasaran tempatan yang mampu menjejaskan ekonomi negara dan melanggar undang-undang harta intelek.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh disalurkan terus ke talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-218 2323. – MalaysiaGazette
















