KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan Kerajaan Madani sebagai pewaris ketakutan berbanding pembawa reformasi susulan larangan terhadap penjawat awam supaya tidak membuat sebarang bentuk penyataan awam.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, larangan itu yang didakwa sudah wujud sejak pentadbiran terdahulu tidak sepatutnya diteruskan Kerajaan Madani yang sebelum ini turun berdemonstrasi dan berguling di jalan raya kononnya untuk menuntut reformasi.
Menurutnya, reformasi yang sebenar bukan mengulangi dasar lama, tetapi menyemak semula dasar yang tidak lagi relevan dengan zaman keterbukaan hari ini.
“Mengapa perlu digembar-gemburkan semula seolah-olah satu arahan baru?
“Adakah kerajaan sedang terasa tergugat dengan suara-suara penjawat awam yang semakin lantang menegur kelemahan pentadbiran?
“Jika benar kerajaan yakin dengan dasar mereka, apa perlunya takut kepada pandangan dalaman? Bukankah itu tanda sistem yang sihat?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, tular di media sosial berkenaan surat yang melarang pegawai awam sama ada secara lisan atau bertulis membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan mengenai apa-apa isu.
Ketetapan itu dinyatakan dalam surat edaran ‘Larangan Membuat Pernyataan Awam Di Bawah Subperaturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993]’ bertarikh 19 Jun 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sementara itu, Idris mengakui disiplin penjawat awam merupakan aspek penting, namun teguran membina demi negara daripada kumpulan tersebut tidak boleh disamakan dengan kenyataan bersifat sabotaj atau fitnah.
Tegas beliau, penjawat awam hari ini bukan lagi “kerani kerajaan” semata-mata, sebaliknya ramai antara mereka profesional, berkelulusan tinggi dan mempunyai keprihatinan terhadap dasar negara.
Malah, tambah beliau, kumpulan penjawat awam juga bukan musuh kerajaan, sebaliknya merupakan aset negara.
“Kenyataan ini juga memberi imej negatif kepada kerajaan, seolah-olah cuba mengawal naratif dan menutup mulut mereka yang tidak sehaluan,” katanya.
Tambah beliau, dalam situasi ekonomi yang mencabar dan isu kebajikan rakyat yang belum selesai, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada penambahbaikan dasar, bukannya ugutan terhadap kakitangan awam.
“Kalau benar Madani mahu membawa perubahan, buktikan dengan dasar, bukan sekadar menyambung peraturan lama yang membungkam suara kebenaran,” katanya.
Dalam masa sama, tambah beliau, Kerajaan Madani juga seharusnya memperkukuh ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban, bukannya meneruskan budaya takut yang diwarisi sejak dahulu.
“Pepatah ada menyebut, `kamu boleh paksa kuda pergi ke air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda untuk minum’.
“Begitu juga dalam pentadbiran – kamu boleh paksa orang diam, tetapi kamu tidak boleh paksa rakyat percaya,” katanya. – MalaysiaGazette
















