KUALA LUMPUR – Dua lelaki direman selama tujuh hari selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menyeludup dadah dari negara jiran melalui sempadan Perlis, susulan penahanan mereka bersama rampasan 70 ketulan mampat ganja di Kepong, Selasa lalu.
Tangkapan dibuat hasil operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Perlis kira-kira jam 1.25 pagi, selepas risikan dijalankan ke atas rangkaian sindiket pengedaran dadah.
Menurut Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, kedua-dua suspek tempatan berusia 33 dan 38 tahun ditahan ketika menaiki sebuah Perodua Aruz yang membawa ganja seberat 73.25 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM227,063.
“Siasatan awal mendapati dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang. Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ dan aktif sejak awal tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 17 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala seorang lagi memiliki empat rekod jenayah dan dadah.
Selain rampasan dadah, polis turut menyita dua pasang subang emas bernilai RM1,950, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM229,013.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – MalaysiaGazette
















