Lilis Saslinda memeriksa gas bersubsidi seleweng yang dirampas di sebuah pusat timbang kelapa sawit di Kampung Setia Jaya, Kluang hari ini.

KLUANG – Taktik satu sindiket menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di sebalik pusat timbang kelapa sawit di Machap di sini, terbongkar dalam serbuan malam tadi.

Dalam serbuan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor berjaya menumpaskan kegiatan itu selepas risikan dilakukan selama satu minggu.

Jelasnya, menerusi Op Gasak pada pukul 8 malam yang disertai anggota KPDN Johor dan Putrajaya menemui 1,176 tong LPG bersubsidi berkapasiti 14 kilogram.

“Semua tong berkenaan dalam keadaan berisi dan kosong, serta sebuah tangki lori gas yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemindahan gas.

“Dari luar, premis ini seolah-olah beroperasi sebagai tempat timbang kelapa sawit seperti biasa.

“Namun setelah diserbu, kami dapati terdapat stor dibelakang yang dijadikan lokasi pemindahan gas dari tong bersubsidi ke tangki lori,” katanya dalam sidang akhbar di premis itu di Kampung Setia Jaya di sini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini dipercayai lebih licik berbanding sebelum ini kerana tidak lagi memindahkan gas ke tong industri seperti 50 kilogram, sebaliknya terus ke tangki lori untuk pengedaran skala besar.

Pihaknya percaya gas berkenaan dipasarkan secara gelap atau mungkin digunakan sektor industri yang besar seperti kimia dan kilang.

“Jumlah gas yang disita dianggarkan sebanyak 4,000 kilogram (kg), manakala nilai keseluruhan rampasan lebih RM200,000,” katanya.

Selain itu, Lilis Saslinda berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pekerja stor terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, siasatan juga akan diperluas bagi mengesan sumber LPG bersubsidi yang dibekalkan kepada premis itu serta rangkaian pengedaran haram yang terlibat.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara 3 tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda maksimum RM2 juta,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast