Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang pemandu penghantaran memiliki telefon bimbit berjenama mewah membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Salman Abdullah yang berusia 32 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dengan menyerahkan dokumen palsu bagi mendapatkan pinjaman mikro bernilai RM8,329 daripada sebuah bank untuk membeli iPhone 16 Pro.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Salman atas pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya dan mendorong penyerahan harta secara tidak jujur.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta.

Mengikut pertuduhan, Salman bersubahat dengan seorang wanita untuk memperdaya pegawai bank di Jalan Peel pada 1 Februari lalu dengan menyerahkan salinan kad pengenalan dan slip gaji dipalsukan sebagai dokumen sokongan permohonan pinjaman.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Edwin Tomas yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menyesali perbuatan tersebut dan kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan lain di Penjara Kajang.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira elemen penipuan dan niat jahat yang dilakukan tertuduh. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast