KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menggesa umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang terbitan atau kempen Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) yang didakwa membawa ideologi liberalisme dan feminisme.
WAFIQ dalam satu kenyataan hari ini berkata, umat Islam juga perlu mengelak daripada memberi publisiti atau ruang di dalam media dan mana-mana institusi kepada SIS yang didakwa masih menyebarkan fahaman bertentangan syarak.
Dalam masa sama, tambahnya, orang ramai turut diseru menyokong usaha Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri dan Majlis Agama Kerajaan Negeri dalam membanteras penyebaran ajaran sesat dalam negara.
“Kerajaan pula harus lebih agresif dalam mendokong pihak berkuasa agama dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk bertindak menguatkuasakan pelarangan terhadap sebarang penerbitan, forum, atau bahan yang menyimpang dari ajaran Islam.
“WAFIQ menegaskan bahawa penyebaran fahaman yang menyeleweng, kononnya atas nama hak wanita atau kesaksamaan jantina, tetap haram dan mesti dibendung agar tidak menimbulkan keruntuhan akidah umat Islam di Malaysia.
“Kami menuntut tindakan tegas daripada pihak berkuasa demi menjaga kesucian ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang berpendirian fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Sementara itu, WAFIQ turut mengingatkan orang ramai berkenaan ‘taktik kuda Trojan’ iaitu modus operandi yang sering digunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) liberal.
Jelasnya, menerusi taktik itu, NGO berkenaan bertopengkan kepada usaha yang pada zahirnya murni sebagai contoh mempertahankan hak wanita, tetapi sengaja dicampuradukkan dengan kebatilan berkiblatkan Barat yang jelas.
Dalam masa sama, tambahnya, WAFIQ juga berasakan adalah satu penghinaan kepada Islam itu sendiri apabila individu yang menganut fahaman yang telah difatwakan sesat dan menyimpang dari agama Islam kekal menganggotai dan berjuang di dalam organisasi yang memakai nama Islam.
“Sehubungan itu, WAFIQ menyeru agar SIS dapat akur dan patuh kepada titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Ketua Agama Islam di Selangor amnya, supaya tidak lagi menggunakan perkataan Islam di dalam nama syarikat atau entitinya agar tidak memberikan kekeliruan kepada umat Islam di Malaysia khususnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















