MUAR – Seorang eksekutif akaun berputih mata selepas lesap RM139,565 diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai polis dan pendakwa raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu wanita tempatan berumur 40 tahun menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada Januari lalu.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insurans. Pemanggil itu mendakwa wanita itu membuat tuntutan insurans palsu.

“Panggilan kemudiannya disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di mana pengadu berhubung dengan seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek mendakwa mangsa terlibat dalam skim pelaburan tidak wujud dan mendakwa 21 laporan polis sudah dibuat kononnya melibatkan kes berkenaan.

Menurut suspek lagi, satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya.

“Mangsa diarahkan membuka satu akaun bank atas nama sendiri untuk tujuan siasatan dan diminta memasukkan wang ke dalam akaun tersebut kononnya sebagai penyelesaian kes.

“Pengadu juga menyerahkan butiran kad bank kepada individu terbabit kerana percaya kepada arahan yang diberikan,” jelasnya.

Menurut beliau, mangsa telah melakukan 30 transaksi ke dalam akaun tersebut bermula 31 Januari hingga 17 Jun tahun ini, melibatkan jumlah keseluruhan RM139,597.

“Hasil semakan ke atas akaun milik mangsa mendapati berlaku pengurangan wang sebanyak RM139,565 melalui 38 transaksi ke 20 akaun bank berbeza,” ujarnya.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas semua nombor telefon yang dihubungi telah disekat, katanya.

Jelas beliau, ses disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Susulan itu, pihak polis mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon mencurigakan yang mungkin datang daripada sindiket penipuan.

“Jangan sesekali dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, butiran kad pengenalan atau kod OTP kepada pemanggil tidak dikenali.

“Orang ramai juga digalakkan mengikuti laman media sosial rasmi seperti Facebook, Instagram dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil untuk mendapatkan maklumat mengenai modus operandi scammer,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast