Seorang pelajar maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan lori di Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pelajar lelaki maut sementara rakannya cedera apabila motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Ulu Tiram di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku pukul 10.44 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha EZ115 dan sebuah lori jenis Hohan ZZ4255.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal berusia 14 tahun cuba memotong dari sebelah kiri sebelum hilang kawalan dan mengakibatkannya terbabas ke tepi jalan.

“Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di kiri jalan, manakala pembonceng tercampak dan terperosok di bahagian belakang bawah lori sebelum dilanggar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran itu pembonceng yang juga berusia 14 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, penunggang pula mengalami kecederaan di kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail ( HSI) Johor Bahru, bagi menerima rawatan lanjut.

Pemandu lori pula katanya, warga tempatan berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan lebih berwaspada terutama ketika waktu puncak.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast