KUALA LUMPUR – Pengamal media di negara ini diharapkan terus berpegang kepada etika kewartawanan yang tinggi dalam melaporkan isu-isu berkaitan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
Menteri Besar Kelantan dan Datuk Mohd Nassruddin Daud menekankan betapa pentingnya peranan media sebagai pemangkin kemajuan dan penyebar kebenaran.
“Oleh itu, media dan kerajaan negeri saling mmerlukan dan perlu bekerjasama,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Kedah dan Perlis.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Penasihat Sekretariat Penerangan SG4, Tan Sri Annuar Musa serta barisan Exco Penerangan kerajaan negeri-negeri SG4.

Menurut Mohd Nassruddin, sambutan Hawana 2025 ini bukan sekadar meraikan pengamal media tetapi turut menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan mahabbah antara kerajaan negeri-negeri SG4 (Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis) dan komuniti media.
Beliau menambah, penganjuran Hawana 2025 ini secara khususnya menumpukan kepada pembinaan jambatan komunikasi dan persefahaman.
“Ini seiring dengan matlamat untuk memastikan pengamal media dan kerajaan negeri-negeri SG4 dapat bekerjasama lebih erat dalam memacu pembangunan dan menangani cabaran bersama, terutamanya dalam era digital yang mencabar,” katanya.
Majlis tersebut turut diadakan Cit Cat Mahabah dengan tajuk ‘Kerjasama dan Hubungan Strategik Antara Pengamal Media dan Kerajaan Negeri’.

Sesi ini membuka ruang perbincangan interaktif dengan membolehkan isu-isu berkaitan kebebasan media, penyaluran maklumat yang tepat dan peranan media dalam pembangunan negeri dikupas secara mendalam.
Selain itu, ia turut menggariskan kepentingan kerjasama strategik di peringkat kepimpinan bagi memastikan inisiatif ini mencapai matlamatnya.
Pada majlis tersebut, penganjur turut menyampaikan sumbangan kepada 10 media dari empat negeri SG4 ini yang diuji dengan masalah kesihatan. -MalaysiaGazette
















