KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan harus bersedia mengendalikan kes sebaik sahaja pertuduhan dikemukakan terhadap individu di mahkamah bagi mengelak prosiding berlarutan bertahun-tahun.
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, meskipun tiada had masa untuk perbicaraan dimulakan atau diselesaikan, kes tidak seharusnya dibiarkan terlalu lama.
Ujar beliau, sepatutnya Peguam Negara (terdahulu) sejak awal sudah mencadangkan agar Datuk Seri Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada kes SRC International, tanpa perlu menunggu selama enam tahun.
“Saya terkilan kerana Peguam Negara ketika itu (selepas Tan Sri Tommy Thomas) sepatutnya mengemukakan permohonan DNAA. Ia merupakan amalan biasa kerana pertuduhan boleh difailkan semula.
“Sebab itu saya menyatakan pendakwa raya hanya boleh menuduh seseorang apabila bersedia untuk memulakan perbicaraan berdasarkan bukti keterangan yang mencukupi dan kebolehpercayaannya.
“Pendakwa raya bukan setakat hanya tuduh, mereka perlu bersedia memulakan perbicaraan,” ujarnya pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran`Antara Dua Titah’ di sini hari ini.
Selain Dzulkifli, ahli panel terdiri daripada peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan ahli korporat yang juga seorang penulis, Datuk Mohd. Omar Mustapha.
Dzulkifli kini Presiden Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC).
Beliau mengulas persoalan yang ditimbulkan seorang peserta sama ada sesuatu yang normal kes SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapi Najib mengambil masa enam tahun untuk dikenakan perintah DNAA.
Dua hari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC.

Pada sesi itu, Muhammad Shafee selaku peguam yang mewakili Najib dalam prosiding mahkamah berkata, bekas Perdana Menteri menanggung `beban’ kerana status orang kenamaan (VIP) yang dibawanya.
Ujar peguam itu, jika beliau bukan VIP, anak guamnya mungkin sudah lama diberikan perintah DNAA dan tidak perlu menunggu sehingga enam tahun.
“Menjadi VIP itu satu beban kerana anda memang benar-benar kena `ketuk’ lebih daripada orang lain, tidak seperti orang biasa,” ujar beliau.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC. Beliau sepatutnya dibebaskan Ogos tahun depan.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. -MalaysiaGazette















