SEPANG – “Selepas 40 tahun, saya sekali lagi terperangkap dalam konflik di Iran. Dulu perang Iran-Iraq, kini perang melibatkan Israel. Saya rasa seperti sejarah berulang,” kata Dr. Suriaya Mohd Ali.
Beliau bersama suaminya, Dr Ali R. Ebadi, 75 seorang warga Iran antara 24 individu ang berjaya dievakuasi dari Tehran oleh Kerajaan Malaysia dalam misi diplomatik kompleks oleh Wisma Putra susulan ketegangan keselamatan yang semakin meruncing di Iran.
“Kami ke Iran pada 13 Jun untuk menyambut Aidiladha dan menziarahi keluarga suami di Shiraz. Sepuluh hari selepas itu, kami terperangkap.
“Sepatutnya kami pulang pada 18 Jun, tapi semua penerbangan dibatalkan, lapangan terbang ditutup, dan kami tidak tahu apa perlu dilakukan,” kata Suriaya, 72, yang masih sebak mengenangkan detik getir itu kepada sekumpulan media di sini.

Kata Suriaya, mereka pada awalnya mencuba mencari jalan keluar sendiri termasuk membeli tiket bot ke Dubai namun laluan terlalu berbahaya dan tidak pasti.
“Saya berdoa sungguh-sungguh minta pertolongan Allah. Satu jam selepas itu, anak saya hantar mesej Kerajaan Malaysia dan kedutaan kita di sana sedang berusaha keluarkan kami. Ia benar-benar satu keajaiban buat kami,” ujarnya emosi.
Menceritakan detik selepas menghubungi Kementerian Luar Negeri, pasangan itu segera menaiki bas dari Shiraz ke Tehran satu perjalanan darat selama 15 jam demi menyertai operasi evakuasi yang dikendalikan Kedutaan Malaysia di Tehran.
Menariknya, pengalaman yang dilalui oleh Suriaya sangat mengejutkan dan masih lagi menggetarkan perasaan kerana telah membangkitkan semula trauma lama.
“Selepas saya berkahwin dan tamat belajar, saya pernah tinggal di Iran sekitar 40 tahun lalu. Ketika itu juga ada perang Iran-Iraq. Saya bekerja di sana, tapi pulang kerana anak saya baru dua tahun. Saya tak sangka selepas empat dekad, saya alami perkara yang sama,” katanya.
Pasangan ini juga menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh pasukan Kedutaan Malaysia di Tehran dan pegawai Wisma Putra.
“Mereka benar-benar jaga kami seperti keluarga. Kami terpaksa tidur dua hari dalam bas, tapi kakitangan kedutaan tidak pernah tinggalkan kami. Mereka bersama kami dari awal hingga akhir,” kata mereka.
Turut berkongsi kisah penuh emosi adalah Fadhil Yusri, suami kepada Zainab Ganood, seorang wanita Iran yang turut diselamatkan melalui misi tersebut.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah SWT atas keselamatan isteri saya yang kini sudah kembali ke Malaysia.
“Isteri saya ke Iran untuk menziarahi ibu bapanya dan terperangkap. Selama lebih seminggu saya hidup dalam kebimbangan, tidak dapat berhubung, tidak tahu keadaan sebenar. Setiap hari saya pantau media, saya panik bila tak dapat menghubungi dia,” katanya.
Fadhil turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri, khususnya Menteri Luar dan seluruh pasukan Wisma Putra yang bertungkus-lumus membantu proses membawa isterinya keluar dari Iran.
Menurut Fadhil, beliau telah berhubung dengan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar sejak awal serangan berlaku dan dimaklumkan mengenai perkembangan evakuasi dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah, malam ini saya lega. Tapi saya masih risaukan keluarga isteri yang masih berada di sana. Saya masih cari jalan bagaimana nak bantu mereka keluar,” ujarnya. -MalaysiaGazette















