PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawalseliaan ekonomi yang sebelum ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia susulan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Jun 2025 telah meluluskan cadangan menjadikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB), berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.
Dengan keputusan itu, jelas beliau, CAAM dan Mavcom akan dirasionalisasikan yang mana semua fungsi kawal selia industri penerbangan termasuk aspek teknikal dan ekonomi akan disatukan di bawah satu entiti iaitu CAAM.
“Ini akan menjadikan CAAM satu-satunya badan kawal selia penerbangan negara yang lebih bersepadu dan cekap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Anthony Loke berkata, rasionalisasi CAAM dan Mavcom itu merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan struktur kawal selia.
Selain itu, ia juga mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi yang mempunyai peranan hampir sama dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih bersepadu dan efisien kepada industri dan rakyat.
Ujar beliau, langkah itu juga selari dengan amalan terbaik antarabangsa yang mana negara lain kini mengamalkan model kawal selia tunggal dalam sektor penerbangan bagi memastikan penyelarasan yang lebih efektif.
“Rasionalisasi ini juga meletakkan asas kukuh kepada CAAM untuk memacu pertumbuhan industri penerbangan Malaysia, seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi maju yang berdaya saing dan inklusif,” katanya.
Jelas beliau, berikutan keputusan itu juga, seramai 57 kakitangan Mavcom yang bakal dibubarkan akan ditawarkan penempatan bersesuaian di CAAM berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka.
Menurutnya, semua kakitangan Mavcom itu akan ditawarkan skim gaji yang lebih menarik di bawah CAAM dan bakal menerima surat tawaran sekiranya bersetuju sebelum Ogos depan.
“Kementerian memberi jaminan kepada semua pemegang taruh, pemain industri dan rakyat Malaysia bahawa peralihan operasi ini akan dilaksanakan secara terancang, telus, dan berpandukan kepada prinsip tadbir urus terbaik.
“Semua pemegang taruh serta kakitangan akan dimaklumkan segala perubahan dan kesinambungan proses kerja dengan terperinci pada sesi libat urus yang akan dianjurkan oleh pihak CAAM,” katanya.
Parlimen pada 30 Julai tahun lalu meluluskan dua rang undang-undang berkaitan industri penerbangan iaitu Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.
Langkah penggabungan itu bertujuan meningkatkan kecekapan industri penerbangan dengan memperkukuh komunikasi antara pihak pengawal selia ekonomi dan teknikal.
Selain itu, ia juga akan memperkemas proses berkaitan bagi memudahcara syarikat yang ingin membuka syarikat penerbangan, menawarkan perkhidmatan pengendalian darat serta berkembang ke destinasi baharu yang menyokong pertumbuhan industri. – MalaysiaGazette
















