AS mengesahkan pihaknya terlibat secara langsung membantu memintas peluru berpandu yang dilancarkan Iran ke arah Israel.

TEHRAN – Penasihat kepada Speaker Parlimen Tehran mendakwa Amerika Syarikat dan Israel sedang berbohong apabila Presiden Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara Iran dan Israel.

“Mereka mahu Iran memperlahankan tahap kesiapsiagaan supaya mereka boleh meningkatkan ketegangan,” tulis Mahdi Mohammadi di X.

Perang Iran-Israel bermula pada 13 Jun, apabila rejim zionis itu melancarkan serangan yang belum pernah berlaku ke atas bangunan kediaman dan tapak nuklear Iran, ketika rakyat Iran sedang bersiap sedia untuk menghadiri pusingan keenam rundingan dengan Washington.

Sementara itu, media Tehran Times pula mendakwa pengumuman mengenai gencatan senjata antara Iran dan Israel adalah satu lagi pembohongan oleh Trump untuk menekan Iran.

Presiden Trump memuat naik kenyataan di media sosial pada awal pagi Selasa bahawa kedua-dua pihak telah “bersetuju sepenuhnya” untuk melaksanakan gencatan senjata, yang dijangka berkuat kuasa dalam masa kira-kira 12 jam.

Media berkenaan mendakwa Trump sengaja mereka-reka satu lagi pembohongan untuk memaksa Kerajaan Iran menerima gencatan senjata, dengan harapan langkah itu akan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap pemimpin mereka dan mencetuskan ketidakstabilan dalaman.

“Trump sebelum ini juga dikatakan berbohong apabila menyatakan beliau memerlukan “dua minggu” untuk membuat keputusan sama ada akan menyerang tapak nuklear Iran.

“Malah, beliau dikatakan telah menjalankan rundingan tidak langsung dengan Iran selama dua bulan, meskipun sudah menetapkan keputusan untuk membenarkan Israel menyerang infrastruktur nuklear, ketenteraan dan awam negara itu,” tulis Tehran Times. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast