BATU PAHAT – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor ‘mendapat hadiah’ berganda apabila anak perempuannya cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dan dapat temuduga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Menurut Mohd Fared Mohd Khalid, beliau mendapat berita gembira berkenaan keputusan cemerlang anaknya, Nur Fareeza Huda semasa dalam perjalanan ke UKM.
Nur Fareeza Huda merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah hanya dimaklumkan tentang keputusan itu menerusi panggilan telefon daripada pihak sekolah ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke UKM pagi tadi.
“Syukur Huda dapat 4.0, namun kami tak dapat ambil keputusan di sekolah. Cikgu telefon dan beritahu tadi minta hadir ke sekolah untuk sama-sama raikan kejayaan Huda,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya hari ini.
Tambahnya, mereka sedang menuju ke UKM kerana Nur Fareeza Huda dijadualkan menghadiri temu duga kemasukan ke Fakulti Undang-Undang universiti tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru dan pihak sekolah yang mendidik anaknya sepanjang pengajian.
“Terima kasih buat Pengetua dan guru-guru atas jasa baik mengajar dan mendidik Huda. Jasa ilmu kalian akan kekal kami ingati,” katanya.
Mohd Fared turut mengucapkan tahniah kepada semua calon STPM 2024 yang memperoleh keputusan masing-masing yang diumumkan hari ini. – MalaysiaGazette
















