Tular keadaan Sungai Muar, Kampung Awat, Batu Anam, Segamat yang didakwa tercemar dengan sisa buangan ketika ini

SEGAMAT – Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu melakukan siasatan terperinci di Sungai Muar, Kampung Awat, Batu Anam di sini yang didakwa tercemar ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip berkata, sungai itu tercemar dengan sisa buangan yang berpotensi menjejaskan ekosistem setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor itu berkata, pihaknya menerima beberapa aduan penduduk di pesisir sungai berkenaan kejadian tersebut.

“Justeru, saya menggesa pihak berkuasa berkaitan khususnya JAS untuk segera menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.

“Ini termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan tegas dan sewajarnya perlu diambil demi memastikan perkara sebegini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan tegas itu juga agar keseimbangan ekosistem sungai terpelihara dan kelangsungan sumber perikanan dapat dikekalkan demi kepentingan semua pihak.

Beliau berkata, kesannya akan dirasai terutama komuniti nelayan darat setempat yang bergantung dengan hasil sungai sebagai sumber pendapatan.

Menurut Zahari, video insiden pencemaran itu yang tular dalam media sosial melahirkan kebimbangan setempat kerana dikhuatiri menjejaskan hidupan air.

“Kerajaan Negeri Johor menerusi Jabatan Perikanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan konservasi sumber perikanan terutamanya menerusi program pelepasan benih ikan dan udang di kawasan ini secara konsisten sejak tiga tahun lalu.

“Sepanjang tempoh tersebut, tiada laporan atau aduan diterima berkaitan aktiviti yang boleh merosakkan ekosistem akuatik di sekitar sungai berkenaan,” ujarnya.

Pada masa sama beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak, terutama komuniti nelayan darat dan penduduk setempat yang terlibat secara aktif menjaga kelestarian dan sumber perikanan di sekitar sungai itu selama ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast