PASIR GUDANG – Lokasi kebakaran di Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai di sini masih lagi mengeluarkan asap walaupun api berjaya dipadamkan dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kebakaran itu membabitkan 10 stor terbiar yang antaranya menjalankan aktiviti kitar semula seperti pengumpulan minyak sawit dan minyak pelincir terpakai.
“Banyak tong besar berisi minyak ditemui di lokasi, menyebabkan kebakaran menjadi besar dan sukar dikawal.
“Ketika operasi memadam api, sejumlah besar air digunakan. Air ini bercampur dengan sisa minyak lalu mengalir ke longkang berhampiran dan sebahagiannya masuk ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, tindakan segera diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan memasang alat penyekat serta span penyerap minyak bagi mengurangkan kesan pencemaran.
Datuk Bandar Johor Bahru juga katanya, sudah mengarahkan pihak kilang membersihkan sisa minyak hari ini, manakala MBJB dan SWCorp digerakkan untuk kerja-kerja pembersihan saliran tercemar.
“JAS akan terus memantau dan menilai tahap pencemaran, dan kerja-kerja pembersihan akan diperluaskan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















