WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa menegaskan gencatan senjata antara Iran dan Israel masih berkuat kuasa.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas beliau mengecam kedua-dua negara itu dan memaki hamun mereka kerana didakwa melanggar perjanjian tersebut.
Dalam satu siri kenyataan yang dikeluarkan secara pantas menerusi aplikasi Truth Social miliknya, ahli politik Republikan itu berkata: “Gencatan senjata sedang berkuatkuasa.”
“Israel tidak akan menyerang Iran. Semua pesawat akan berpatah balik dan pulang ke pangkalan, sambil memberikan “lambaian mesra” kepada Iran. Tiada sesiapa yang akan cedera,” tulis Trump yang sedang dalam perjalanan ke Sidang Kemuncak NATO di The Hague.
Beberapa minit sebelum itu, Trump mengecam Iran dan sekutu rapat AS, Israel, kerana melanggar gencatan senjata yang diumumkan beliau lewat malam Isnin.
“Kedua-dua negara ini telah bertempur terlalu lama dan terlalu sengit sampai mereka sendiri pun tak tahu apa benda yang mereka buat, kamu faham tak?” kata presiden itu kepada wartawan di White House.
“Iran melanggar gencatan senjata, tetapi Israel juga melanggarnya”, kata Trump kepada wartawan di South Lawn, White House sebelum beliau berlepas ke sidang kemuncak NATO.
“Jadi saya tidak puas hati dengan mereka. Saya tak puas hati dengan Iran juga. Tapi saya betul-betul marah kalau Israel terus keluar pagi ini.”
“Saya perlu tenangkan Israel. Sebaik saja kita capai perjanjian (gencatan senjata), mereka (Israel) terus keluar dan menjatuhkan bertan-tan bom yang saya sendiri tak pernah tengok sebelum ini,” katanya lagi.
Tindakan Trump menunjukkan kemarahannya terhadap Israel secara terbuka – sesuatu yang jarang berlaku – memperlihatkan usahanya memujuk sekutu kuat AS itu supaya membatalkan operasi pengeboman secara langsung.
Awal pagi tadi juga, beliau menulis di Truth Social: “Israel jangan jatuhkan bom-bom berkenaan.
“Jika kamu lakukan, ia adalah satu pelanggaran besar. Bawa pulang semua juruterbang kamu, sekarang juga,” katanya tanpa menjelaskan bom mana yang dimaksudkan beliau. -AFP















