KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan menantu Ketua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad perlu didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang atas dakwaan jenayah menghasut kebencian kaum serta mencetuskan ketegangan perkauman.
Menurut Guan Eng, ia susulan hantaran Zaharuddin yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook berhubung pelantikan Johnny Lim sebagai pegawai tentera Cina pertama yang dilantik ke pangkat Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dakwa Guan Eng, menerusi hantaran yang sudah dipadam itu, Zaharuddin mendakwa Malaysia mungkin akan mempunyai Perdana Menteri Cina yang pertama menjelang tahun 2058 susulan pelantikan bersejarah Johnny.
Katanya, kenyataan berbaur perkauman dan melampau itu bukan sahaja menghina profesionalisme serta integriti ATM malah mencemarkan pencapaian cemerlang Johnny dan memperlekehkan pengorbanan serta kesetiaan rakyat bukan Melayu terhadap negara.
“Politik kebencian dan tidak bertoleransi yang dibawa oleh Pas kini semakin ekstrem, fanatik dan sarat dengan unsur perkauman.
“Sikap ini mesti dihentikan dan tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Tiada satu pun institusi yang dianggap suci daripada serangan Pas, kumpulan etnik minoriti mudah dijadikan sasaran fitnah, manakala Perlembagaan Persekutuan pula dihina secara terbuka,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Guan Eng, hanya hukuman yang tegas terhadap naratif yang tidak bertanggungjawab dan berbahaya seperti yang dibuat Zaharuddin itu dapat menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam kehancuran akibat rasisme dan ekstremisme yang sedang disuburkan oleh Pas. – MalaysiaGazette
















