GEORGE TOWN – Seorang pegawai kewangan di sebuah syarikat perkhidmatan perundingan di Pulau Pinang menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian membabitkan kerugian sebanyak RM4.17 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menerima laporan daripada wanita berusia 60 tahun itu semalam yang mendakwa ditipu menerusi skim pelaburan menggunakan nama KKR Investment.
Hasil siasatan mendapati pada awal Mac lalu, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di aplikasi Facebook yang memaparkan pautan berkaitan KKR Investment yang menjanjikan pulangan keutungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan dikenali sebagai ‘Kumpulan Analisis Kewangan Saham Malaysia.
“Terpengaruh dengan janji tersebut, mangsa diminta memuat turun satu aplikasi bernama KKR INV melalui pautan yang diberikan suspek, mendaftar keahlian dan memulakan pelaburan.
“Susulan itu antara 10 Mac hingga 13 Jun lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 76 transaksi pindahan wang ke dalam lapan akaun bank milik syarikat yang berbeza dengan keseluruhan kerugian direkodkan adalah sebanyak RM4,171,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hamzah, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan melalui aplikasi tersebut dan diminta membuat bayaran tambahan untuk proses pengeluaran.
“Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan atas talian, khususnya yang dipromosikan melalui platform media sosial.
“Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan entiti atau individu yang menawarkan produk pelaburan itu mempunyai kebenaran sah,” katanya. – MalaysiaGazette
















