KUALA LUMPUR – Empat lelaki termasuk tiga warganegara Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas pertuduhan mengedar kokain dalam bentuk cecair dengan isipadu kira-kira 10 liter, minggu lalu.
Mereka ialah Kong Sien Mee, 57, (rakyat tempatan), Quek Kien Seng, 45, Tristan Chew Jin Zhong, 25, dan Ivan Tan Zhi Xuan, 31. Tertuduh-tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh-tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berkenaan dengan anggaran 9,402.2 mililiter di jalan keluar sebuah hotel di Ampang kira-kira pukul 11.45 pagi, 19 Jun lalu.
Tertuduh-tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan 12 kali.
Timbalan Pendakwa Raya Ramanathan Alias Ashwin a/l Muthupalaniappan tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh sebutan bagi menunggu laporan kimia.
Peguam Ille Maryam Yusnawannie mewakili ketiga-tiga rakyat Singapura itu manakala tertuduh rakyat tempatan tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 8 September ini.
Sebelum ini, laporan media menyatakan, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran katrij cecair vape mengandungi dadah jenis kokain yang pertama seumpamanya di negara ini selepas menahan empat individu di kawasan parkir sebuah hotel di Ampang Jaya, minggu lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas sebanyak 4,958 katrij cecair vape bernilai RM7.2 juta, dipercayai dibawa masuk dari Singapura untuk pasaran individu kenamaan (VIP) serta antarabangsa.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan dan tiga warga Singapura yang menaiki kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 10 kotak mengandungi 4,958 katrij cecair vape yang mengandungi dadah jenis kokain.
“Penahanan suspek berusia antara 25 hingga 50 tahun itu membawa kepada penemuan sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan lokasi pembungkusan semula katrij tersebut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, beberapa hari lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah dalam bentuk katrij vape itu disasarkan untuk pasaran antarabangsa menerusi perkhidmatan kurier. – MalaysiaGazette















