Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang bekas kakitangan stesen televisyen berbayar yang berdepan 743 pertuduhan berkaitan pengubahsuaian sistem pangkalan data dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama 30 hari bagi menjalani pemerhatian psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Norma Ismail selepas peguam tertuduh, Daniel Annamalai memaklumkan anak guamnya, Nora Idayu Jaafar telah mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik swasta.

Dakwanya, anak guam beliau disyaki mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).

“Anak guam saya telah berjumpa doktor pada 6 Jun lalu dan telah diberikan surat rujukan untuk menjalani rawatan lanjut dengan pakar psikiatri,” katanya pada prosiding mahkamah hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abdul Rahman kemudian memohon mahkamah mengeluarkan arahan rasmi agar tertuduh dirujuk ke hospital pakar bagi penilaian lanjut memandangkan perkara itu membabitkan keupayaan mental individu yang berdepan ratusan pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes dan laporan berkaitan keadaan mental Nora Idayu.

Pada prosiding hari ini, mahkamah mengambil masa hampir dua jam untuk membacakan 132 daripada 743 pertuduhan terhadap Nora Idayu, yang sebelum ini hanya sempat mendengar 30 pertuduhan pada 4 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengubah suai sistem pangkalan data milik majikannya ketika bertugas di Unit Sokongan Komersial dengan menukar status akaun pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara tahun 2013 hingga 2019 di ibu pejabat syarikat berkenaan di Menara Icon, Jalan Tun Razak di ibu negara.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast