Muhammad Firdaus didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membuat ugutan terhadap jurukamera

JOHOR BAHRU – Seorang bapa kepada tujuh anak yang tidak bekerja didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membuat ugutan terhadap jurukamera di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, semalam.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abdullah, 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Nabilah turut mengarahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dituduh telah menakutkan secara jenayah terhadap seorang jurukamera berusia 61 tahun dengan niat hendak menyebabkan kegentaran.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira 9 pagi semalam, ketika tertuduh yang diiringi anggota polis bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes khianat dan memandu secara berbahaya.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nevina memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya setelah pengadu hanya menjalankan tugas sebagai jurukamera dan ugutan itu bersifat mengancam keselamatannya.

Tertuduh merayu supaya mahkamah memberikan hukuman yang ringan memandangkan dirinya tidak berkerja selain terpaksa menanggung tujuh anak dan seorang isteri.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal melunaskannya.

Semalam, beberapa pengamal media di daerah ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan setelah diugut ketika membuat liputan berkaitan kes dihadapi tertuduh di mahkamah.

Dalam laporan itu, tertuduh dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan kepada jurukamera TV3, jurugambar Berita Harian dan seorang wartawan dari akhbar Oriental Daily.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner (ACP) Raub Selamat dalam kenyataan media memberitahu, suspek ditahan pagi tadi di kawasan Bandar Baru Uda, di sini.

Menurut Raub, rakaman video kejadian menunjukkan suspek yang memakai pelitup muka ketika berjalan ke bilik perbicaraan telah mengeluarkan kata-kata ugutan dilemparkan terhadap jurukamera itu.

“Suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan berbunyi, ‘Kenapa rakam dekat bawah, sudah rakam, nanti aku keluar aku cepuk kau… jangan buat aku marah, nanti aku sepak kau’, sehingga menyebabkan mangsa berasa terancam dan membuat laporan polis,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast