PONTIAN – Polis menahan suami isteri warga Indonesia bersama-sama anaknya dan merampas dadah selepas melarikan diri dengan kereta sekitar bandar ini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku pukul 10.18 malam semasa tiga beranak itu sedang menaiki kereta di Jalan Parit Haji Othman, Kampung Seri Bunian.
“Kereta jenis Nissan Almera berwarna putih yang dinaiki tiga beranak itu dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak melarikan diri sebaik diarahkan berhenti oleh pasukan peronda polis.
“Tiga unit kereta peronda (MPV) polis mengejar suspek yang bertindak membuat pusingan-U di Pusat Perdagangan Pontian, sebelum berpatah balik ke arah Rambah dan seterusnya menghala ke bandar Pontian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kereta itu akhirnya berjaya dipintas di lampu isyarat Jalan Sungai Gurap tanpa sebarang insiden kemalangan atau kecederaan melibatkan anggota atau orang awam.
Pihaknya kata beliau, mengejar kereta suspek sejauh lebih 15 kilometer selama 20 minit bermula dari Jalan Parit Haji Othman sehingga di kawasan lampu isyarat tersebut.
Mohamad Shofee berkata, pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemui dua plastik lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 8.58 gram.
“Suspek lelaki berusia 32 tahun dan isterinya berusia 24 bersama anak peremapuan mereka berusia dua tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum itu tular video berutasi 38 saat menunjukkan MPV polis mengejar kenderaan suspek.- MalaysiaGazette
















