Penonton memenuhi sehingga ke luar pagar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi. - Foto: FB Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan malam tadi kembali bernyawa dengan lautan peminat sukan bola sepak tempatan.

Pemandangan sebegitu yang menyaksikan penonton memenuhi sehingga ke luar pagar stadium kali terakhir dapat dilihat ketika era kegemilangan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, lebih 12 tahun lalu.

Pemandangan itu lebih menjentik perasaan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkannya sebagai `manifestasi cinta dan rindu pada era gemilang’ The Red Warriors.

ANNUAR Musa ketika berucap di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi. – Foto: FB Tan Sri Annuar Musa

“Malam tadi Stadium SULTAN MUHAMMAD KE IV KOTA BHARU melihat puluhan ribu peminat bola Kelantan membanjiri stadium

“Perlawanan yang menggamit detik detik gemilang lebih 12 tahun lalu.

Realiti kini amat pahit apabila mutu pasukan Kelantan merudum ke tahap paling bawah. Membina semula bukan mudah. Menyerah kalah bererti kita kuburkan sejarah bahawa satu ketika kita adalah pahlawan merah yang tidak pernah menyerah.

“Walau pun pahit serta amat berat utk mendaki semula dari bawah namun kita perlu berusaha.

“Di Liga Super di mana bertarungnya pasukan pasukan gagah, Kelantan akan sertai dengan azam dan tekad utk kembali menyerlah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Malam tadi, lebih 70,000 peminat sukan bola sepak tempatan membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV yang menjadi gelanggang kepada perlawanan persahabatan antara Ex Treble Kelantan menentang Ex Double Treble Kedah.

Bagi peminat sukan bola sepak Kelantan, pertandingan itu menyingkap semula era kegemilangan ketika pasukan The Red Warriors yang pernah menjadi antara pasukan digeruni dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Kebangkitan skuad The Red Warriors itu bermula pada 2009 selepas muncul naib juara Piala Malaysia dan Piala FA dan mengenggam treble pertama dalam sejarah pasukan tersebut pada 2012 dengan menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Malah, pemain-pemain legenda yang mengangkat nama Kelantan dalam sukan bola sepak ketika itu turut beraksi dalam perlawanan malam tadi antaranya pemain import berbisa, Mohammad Ghaddar; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; dan bekas ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

Dalam perlawanan malam tadi, Ex Treble Kelantan berjaya menundukkan Ex Double Treble Kedah dengan jaringan 3-0, sekali gus merangkul trofi Piala PUC. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast