Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar tiba bagi keputusan permohonan kebenaran merayu yang dikemukakan oleh Peguam Negara berkaitan kewujudan titah adendum, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 28 APRIL 2025 (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkaitan titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa dan Rabu ini.

Peguam Negara mengemukakan tujuh persoalan undang-undang dalam rayuan itu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Persoalan yang dikemukakan itu penting dan memerlukan penentuan mahkamah untuk memberikan panduan lebih-lebih lagi, subjek utama dalam semakan kehakiman melibatkan pelaksanaan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di mahkamah bagi mendengar keputusan rayuan agar dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

Pada prosiding 18 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan Najib hadir dalam pendengaran rayuan itu dan mengarahkan perintah untuk mengemukakan orang dalam penjara (OTP) dikeluarkan.

Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Pada prosiding 28 April lalu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan Peguam Negara merayu keputusan itu dengan membenarkan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam dihujahkan dalam rayuan.

Panel itu berpuas hati, persoalan undang-undang tersebut belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Koram itu turut membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong kewujudan titah adendum.

Ketika membenarkan permohonan merayu, Hakim Hasnah berkata, persoalan itu antaranya menyentuh sama ada Peguam Negara terikat di bawah undang-undang untuk mengesahkan kewujudan dan membekalkan salinan dokumen yang disangkalnya.

Menurut Hakim Hasnah, persoalan lain ialah sama ada Peguam Negara mempunyai kewajipan untuk mempertahankan atau mengesahkan keterangan pada peringkat kebenaran prosiding semakan kehakiman.

Ujar beliau, ketiadaan afidavit daripada Peguam Negara untuk menyanggah permohonan Najib bagi mengesahkan titah adendum, sesuatu yang menarik perhatian mahkamah untuk dikemukakan dalam rayuan kelak.

Pada prosiding itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib turut memohon pertimbangan agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim atau tujuh hakim.

Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast