Mohamad ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Ledang, hari ini.

TANGKAK – Terpulang kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menarik semula penggantungan keahlian bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Hishammuddin perlu menulis surat kepada parti untuk memohon menarik semula penggantungannya.

“Tulis surat…(beliau) pergi kita tak halau, balik tak dijemput, nak balik, balik lah. Terpulang kepada MKT yang punya kuasa untuk memendekkan hukuman. Kalau MKT kata ok, ok lah.

“Macam (penggantungan keahalian) Datuk Seri Tajuddin (Abdul Rahman), dia datang minta tolong dengan saya, saya kata tulis surat (kepada parti untuk rayuan).

“Dia tulis surat dan lulus (penggantungan ditarik balik), apa masalahnya, jangan bodoh sombong nak buat apa, UMNO tak terhegeh-hegeh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

UMNO sebelum ini membuat pembersihan besar-besaran parti apabila beberapa pemimpinnya digantung dan dipecat antaranya Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan MKT UMNO.

Surat bertarikh 30 Januari 2022 itu ditandatangani Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertindak sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu.

Bagaimanapun pada 11 Disember lalu, media melaporkan Hishammuddin mengulangi pendirian untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya.

Ini selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan penggantungan keahlian bekas Tajuddin selama enam tahun ditarik balik selepas menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti.

Ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan untuk kembali kepada UMNO, atas alasan sehingga ke hari ini tidak tahu punca penggantungannya selama enam tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast