KOTA TINGGI – Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk 14 inisiatif khusus untuk manfaat warga Felda di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara inisiatif itu melibatkan bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan 10 kuota haji kepada peneroka Felda bagi musim akan datang, selain membantu menyelesaikan isu projek rumah generasi kedua yang terbengkalai.
“Kerajaan Johor turut menyalurkan sumbangan bakul makanan kepada peneroka dan keluarga sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti Felda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda Madani peringkat negeri Johor di Felda Tunggal di sini hari ini.
Sambutan tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Hadir sama, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri negeri, Aznan Tamin dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Johor Bahru, Sharon Ab Raman.
Dalam pada itu, kerajaan negeri memberi jaminan untuk menyelesai isu projek perumahan terbengkalai bagi generasi kedua Felda yang telah berlarutan sehingga tujuh tahun.
Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi memastikan projek-projek rumah tersebut dapat disiapkan sepenuhnya dalam tahun ini juga.
Menurut beliau, antara kawasan Felda yang terlibat termasuk Felda Pasak dan Felda Bukit Aping Timur yang sebelum ini menanggung kesan kelewatan projek perumahan sehingga menjejaskan ratusan anak-anak muda peneroka.
“Hari ini kerajaan negeri beri komitmen untuk bantu sampai selesai isu ini. Kita nak pastikan masalah yang membelengguselama tujuh tahun ini dapat diselesaikan tahun ini juga,” katanya.- MalaysiaGazette
















