TEHRAN – Pemimpin besar Ayatollah Nouri Hamedani mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan sebarang ancaman terhadap Ketua Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei yang dibuat oleh individu atau kerajaan dianggap sebagai “Musuh Tuhan.”
Tambahnya, sebarang serangan terhadap Syiah Marja dan pemimpin negara Islam itu juga dianggap sebagai serangan terhadap tiang Islam dan juga nyawa semua orang Islam.
Dengan itu, pelaku akan menerima tindak balas yang buruk daripada rakyat yang mencintai keamanan serta ulama negara Iran.
Ayatollah Nouri Hamedani dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, Presiden Amerika Syarikat yang konsisten menyokong kekejaman jenayah rejim Zionis telah berani mengeluarkan kenyataan bodoh terhadap kedudukan mulia Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei.
Beliau turut menyifatkan Donald Trump penjenayah dan mempunyai rekod hitam dipenuhi dengan pembunuhan, rompakan serta pembunuhan berencana.
“Kami menyatakan bahawa sebarang serangan terhadap Marja Syiah dan Pemimpin Umat Islam adalah dianggap sebagai serangan terhadap tiang agama Islam dan juga nyawa seluruh umat Islam, dan ia akan menerima tindak balas yang keras dan menghancurkan daripada bangsa beriman Iran Islam serta semua pencinta kebebasan di seluruh dunia,” kata ayatollah itu.
Ayatollah Nouri Hamedani turut menyatakan bahawa kerajaan pengganas AS dan para pemerintah zalimnya harus sedar bahawa ancaman sebegini bukan sahaja tidak akan melemahkan semangat rakyat negara ini, malah akan terus memperkukuh perpaduan dan keharmonian Umat Islam.
Terdahulu pada Ahad, Ayatollah Agung Makarem Shirazi mengeluarkan satu fatwa yang menyatakan bahawa sesiapa yang mengancam Pemimpin atau Marja Syiah adalah musuh Tuhan, yang wajib diperangi menurut ajaran Islam. -AGENSI
















