Lawrence Low

 

KUALA LUMPUR – Biarpun kerajaan mendakwa kadar tarif baharu yang bakal dilaksanakan esok lebih adil dan progresif, tidak membebankan komuniti perniagaan dan pengguna domestik akan bayar kadar yang lebih rendah, namun ia tetap tidak melegakan kebimbangan yang dirasai rakyat.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, hari ini, Persatuan Pusat Data Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia menyatakan langkah ini akan meningkatkan kos operasi.

Dakwanya, ini bertentangan dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai hab pusat data, sepertimana yang sedang dilakukan di Johor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Menurut laporan media, kedua-dua badan industri ini telah mempersoalkan kaedah pengiraan kadar kerajaan yang disifatkan “tidak tepat” dan “tidak adil” kerana kemungkinan fenomena pengiraan berganda yang berlaku apabila permintaan melambung disebabkan asas pelanggan yang bertindih antara syarikat awan (cloud) yang berbeza.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana MCA berkata, kos operasi yang disifatkan terlampau tinggi ini juga bakal menyebabkan Malaysia kehilangan tarikannya kepada pelabur asing yang akan cenderung memilih negara-negara serantau lain untuk menubuhkan pusat data mereka, ataupun memindahkan operasi mereka ke negara-negara tersebut.

“Tarif elektrik baharu ini akan menyebabkan kenaikan 100.2% bagi voltan tinggi pada waktu luar puncak, daripada 20.20 sen/kWh kepada 40.43 sen/kWh, dan kenaikan 162.3% bagi caj permintaan maksimum masa puncak bagi industri voltan sederhana, iaitu dari RM37 ke RM97.06 bagi setiap kWh sebulan.

“Sudah tentu pihak-pihak industri tidak mahu menanggung beban ini, dan akan melepaskannya kepada penggguna akhir menerusi kenaikan harga jualan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa sama, Lawrence mendakwa, rakyat juga tertanya-tanya, kenapa dibebankan dengan kenaikan tarif elektrik ini sedangkan keuntungan bersih yang dicatatkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat kepada RM1.44 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM327.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

“Sudah untung berbilion ringgit, kenapa masih mahu menaikkan kadar tarif elektrik lagi?,” soalnya.

Justeru itu, MCA sekali lagi menggesa kerajaan menangguhkan dahulu langkah ini, dan mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan dan wakil-wakil rakyat terlebih dahulu, supaya satu mekanisme yang lebih adil dapat dilaksanakan.

Dan, bukannya menaikkan kadar tarif sewenang-wenangnya demi mengisi kekurangan pendapatan negara dan ketirisan yang berlaku akibat pemansuhan GST- sistem yang telus, cekap dan adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast