Md Israk (empat dari barisan kiri) bersama-sama petugas media Johor selepas program minum petang media bersamanya di Educity Hub, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 10 daripada 26 Bahagian UMNO di Johor sudah selesai mengadakan mesyuarat peringkat bahagian tanpa sebarang kekecohan atau provokasi.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, mesyuarat itu berjalan dengan aman, malah tiada diusulkan isu-isu sensitif atau membangkitkan rasa tidak puas hati daripada kalangan perwakilan.

“Setakat ini mesyuarat berjalan lancar serta harmoni dan tiada usul panas yang dikemukakan para perwakilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program minum petang media bersamanya di Educity Hub di sini hari ini.

Ditanya sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Md Israk menjelaskan, setakat ini langkah tersebut belum diputuskan lagi.

Beliau berkata, keputusan bertanding solo atau tidak akan dimaklumkan pimpinan tertinggi apabila sampai masanya nanti.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO Johor menyambut baik dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Johor atas pengumuman 14 inisiatif penting sempena Hari Peneroka Felda Madani Johor hari ini.

Katanya, ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan masa depan warga Felda.

“UMNO Johor yakin inisiatif ini akan membantu meningkatkan kesejahteraan peneroka dan generasi baharu Felda sekali gus memacu Felda sebagai tunjang keterjaminan makanan negara dan kekuatan ekonomi negeri Johor.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri atas keprihatinan terhadap warga Felda yang sentiasa menjadi nadi pembangunan luar bandar Johor,” ujarnya.

Antara inisiatif yang diumum Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah kuota tawaran Pinjaman Pendidikan tanpa faedah untuk 50 anak peneroka Felda Johor dan kota haji khas kepada 10 orang warga Felda.

Ini termasuk sumbangan bakul makanan untuk setiap peneroka Felda seluruh Johor selain memberi komitmen  menyelesaikan isu projek-projek terbengkalai.

Ini melibatkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Pasak dan Felda Aping Timur, Kota Tinggi.

Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan FELDA untuk selesaikan menjelang hujung tahun ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast