TANGKAK – Sebuah buku yang mendokumentasikan mengenai sejarah dan perkembangan UMNO Bahagian Ledang  dilancarkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang, di sini, semalam.

Buku setebal 316 muka surat itu mengandungi rencana berkaitan parti UMNO bermula dari sejarah penubuhannya di negara ini sehingga tertubuhnya UMNO di Ledang, Tangkak.

Penulisnya, Mohd Noh Mohamed, 64,  terpanggil untuk membuat rujukan dan menemui ramai tokoh dan individu yang ada kaitan dengan penubuhan parti itu di daerah ini khususnya bahagian Ledang bagi merealisasikan hasrat mendokumentasikan sejarah UMNO Ledang.

Katanya, impian untuk mendokumentasikan sejarah UMNO Ledang itu tercetus apabila melihat tiada buku yang ditulis oleh anak tempatan sendiri berkaitan penubuhan parti orang Melayu yang kuat satu ketika dahulu.

”Bukan mudah untuk menulis buku yang berkaitan dengan sejarah penubuhan sebuah parti yang dahulu menjadi payung kepada orang Melayu kerana ia memerlukan kajian dan fakta yang tepat.

”Dengan adanya buku ini, diharap ia menjadi rujukan generasi muda yang ingin mengetahui sejarah perjuangan pemimpin parti khususnya UMNO Bahagian Ledang yang telah melahirkan ramai pemimpin di peringkat negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku UMNO Ledang Menelusuri Perjuangan di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdull Rahim Talib.

Mohd Noh berkata, buku itu mengandungi sejarah penubuhan UMNO Bahagian Ledang, tokoh-tokoh pemimpin sama ada di peringkat bahagian mahupun cawangan serta gambar-gambar berkaitan aktiviti yang dijalankan.

Sementara itu, Penyunting buku berkenaan, Hai Rozzaman Jalal, 57, berkata penerbitan buku berkaitan sejarah tempatan perlu diperbanyakkan supaya generasi masa kini dan akan datang boleh membuat rujukan.

Katanya, sementara masih ada generasi lama yang boleh menceritakan sejarah dan peristiwa yang mereka lalui, penulis atau pengkaji sejarah perlu merebut peluang itu untuk mendokumentasikannya dalam bentuk buku atau video.

Beliau berkata, buku UMNO Ledang Menelusuri Perjuangan diterbitkan Persatuan Pengkarya dan Pencinta Seni Tinta Karya Tangkak Johor sebagai salah satu usaha mengumpulkan sejarah tempatan untuk didokumentasikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast