BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 1.3 juta batang rokok disyaki tidak berkastam dengan nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1.8 juta, dalam serbuan di Bukit Mertajam dekat sini.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, serbuan pada 6 Mei lalu yang dilakukan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan itu membawa kepada penemuan sebuah lori yang ditinggalkan di parkir kereta sebuah taman perumahan.
“Dalam serbuan tersebut kita menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang dipercayai pemandu dan kelindan.
“Semakan lanjut mendapati, sebanyak 1,320,800 batang terdiri daripada rokok putih dan rokok kretek itu disembunyikan di ruang barang kenderaan tersebut.

“Anggaran nilai barangan tersebut ialah RM431,504 manakala jumlah cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM1,346,382.40,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM di Bagan Jermal di sini, hari ini.
Tambah Rohaizad, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
Dalam perkembangan lain, Rohaizad turut memaklumkan pihaknya menggagalkan cubaan mengedar minuman keras tidak berkastam dalam satu serbuan berasingan di sebuah rumah di sini, pada 9 Mei lalu.
“Dalam serbuan itu, kita merampas sebanyak 15,288 tin dan 13,820 botol minuman keras jenis bir dan liquor dengan nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan RM900,000.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana rumah tersebut tidak berpenghuni. Kita percaya premis berkenaan disewa untuk dijadikan tempat penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” ujarnya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan yang tidak berkastam. – MalaysiaGazette















