N. Balasubramaniam

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat menggesa kerajaan meminda segera Akta Perhimpunan Aman 2012 khususnya Seksyen 11 supaya selari dengan roh Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan perhimpunan aman.

Ketua DHPP, N. Balasubramaniam berkata, kerajaan juga perlu memastikan tidak ada mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa untuk menyekat suara rakyat yang berhimpun secara aman dalam apa jua tujuan selagi tidak melanggar undang-undang.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan perlu menjalankan moratorium penuh terhadap pendakwaan sedia ada di bawah Seksyen 9(5) serta menggugurkan semua pertuduhan berkaitan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut.

“DHPP akan terus komited untuk mempertahankan hak kebebasan berhimpun secara aman dan menyeru semua pihak menghormati perbezaan pandangan dengan adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Seksyen 9(5) PAA adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).

Sementara itu, Balasubramaniam menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai satu kemenangan rakyat dari sudut keadilan dan kebebasan bersuara di negara ini.

Menurutnya, ia memperkukuh keyakinan rakyat bahawa Mahkamah Persekutuan berdiri teguh dalam mempertahankan prinsip-prinsip Perlembagaan dan hak rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Dalam suasana politik dan sosial negara yang semakin mencabar, keputusan ini memberikan sinar harapan bahawa suara rakyat masih mempunyai ruang yang sah dan dilindungi oleh undang-undang.

“Rakyat Malaysia, termasuk warga bukan Islam yang menjadi pendokong perjuangan Pas melalui DHPP, amat menghargai ruang demokrasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast