Shahrulanuar Mushaddat menunjukkan jam tangan Rolex yang dicuri daripada seorang suspek di Taman Sinar Berlian, Batu Pahat

BATU PAHAT – Polis menahan seorang lelaki kerana mencuri seutas jam tangan Rolex dan wang tunai semuanya berjumlah RM110,700 di Taman Sinar Berlian, di sini, pada 24 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun menyedari kejadian itu pukul 9.30 malam selepas melihat keretanya yang diparkir di halaman rumah diselongkar.

“Pemeriksaan mendapati suspek telah melarikan seutas jam tangan Rolex dan wang tunai RM700. Anggaran jumlah nilai kerugian lebih kurang RM110,700.

“Bertindak atas siasatan dan dapatan risikan pada pukul 3 pagi hari yang sama, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat berjaya menahan suspek.

“Turut berjaya menjumpai semula seutas jam tangan Rolex milik mangsa dan pakaian serta peralatan digunakan suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek adalah seorang lelaki tempatan yang berumur 27 tahun dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Semakan rekod jenayah lampau suspek didapati mempunyai 14 rekod berkaitan kes jenayah dan dadah, katanya.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast