Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seramai 147 lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan diberkas dalam satu operasi secara serentak di 64 pusat cuci kenderaan sekitar Wilayah Iskandar, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mereka yang ditahan dalam operasi bersepadu berkenaan berusia antara 21 hingga 57 tahun.

“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha pusat cuci kenderaan.

“Ini juga bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti jenayah lain seperti penyalahgunaan dadah dan perjudian dalam talian,” kataya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah; dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Jelasnya, kes turut disiasat bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 melibatkan kesalahan perjudian dalam talian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan melalui ujian saringan air kencing.

Beliau berkata, sabit kesalahan bagi peruntukan tersebut boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000, penjara antara dua hingga lima tahun, serta sebatan bagi kesalahan tertentu di bawah undang-undang imigresen.

Operasi itu katanya, turut menyaksikan pelbagai tindakan penguatkuasaan lain termasuk kesalahan menyambung bekalan air secara haram di bawah Seksyen 89(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun terhadap pengusaha yang gagal mempamerkan papan tanda, memiliki lesen tamat tempoh dan tidak mencatat nama perakuan perniagaan seperti dikehendaki di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” katanya.

Kumar berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan gagal mempamerkan tag harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menyita peralatan dan mengeluarkan kompaun terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016 serta Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Operasi itu katanya, berjaya mencapai objektif dalam memastikan pematuhan undang-undang oleh pemilik pusat cuci kenderaan serta membanteras penglibatan PATI dan elemen jenayah lain yang dikenal pasti.

Beliau menegaskan, polis Johor komited untuk meneruskan kerjasama strategik bersama-sama semua agensi penguat kuasa demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat negeri ini terus terpelihara.

Operasi bersepadu itu melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, KPDN, Jabatan Tenaga Kerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), SSM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast