Dua wanita Vietnam antara empat yang ditahan kerana memiliki dan mengedar dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Empat sekawan termasuk dua wanita warganegara Vietnam didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki lebih 13 kilogram (kg) dadah, bulan lalu.

Di hadapan Majistret, A Shaarmini, keempat-empat tertuduh, Ching Hin Leong, 46; Tay Wei Bin, 36 bersama-sama dua wanita Vietnam, Pham Thi Quy, 26 dan Nong Thi Nhinh, 29, mengangguk faham apabila dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh mencapai niat bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis serbuk ‘methylenedioxymethamphetamine’ (MDMA) dengan anggaran berat kasar 12 kilogram (kg) dan pil MDMA dengan berat kasar 375 gram.

Kesalahan itu dilakukan di pangsapuri Jalan Tanjung Puteri di sini pukul 12 tengah hari pada 19 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang sehingga 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh Pham diwakili peguam VS Selvanteran dan tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di mahkamah majistret lain, keempat-empat tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan memiliki dadah berbahaya masing-masing jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 7 gram, Nimetazepam (520 gram) dan ketamin (25 gram).

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh Pham diwakili peguam VS Selvanteran dan Ching diwakili peguam Siti Nadia Yahya.

Kedua-dua mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan kes disebut semula untuk laporan kimia pada 3 September ini.

Dalam prosiding Mahkamah sama, Ching turut berdepan tiga pertuduhan memiliki dadah jenis MDMA (4.64 kg), Methamphetamine (79 gram) dan Nimetazepam (28 gram).

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap kesemua pertuduhan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Vista Puteri, Jalan Bayu Puteri di sini pukul 3.10 petang pada 19 Jun lalu.

Mahkamah menetapkan 4 September ini sebagai sebutan kes untuk laporan kimia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast