Datuk Pandak Ahmad ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku 'Titian Perjalanan Sebuah Kehidupan' di OUM, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sudah sampai masanya UMNO membuka buku baharu dan berlapang dada menerima semula bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad berkata, bukan sahaja Ahli Parlimen Sembrong itu tetapi ahli dan pemimpin parti itu yang turut digantung.

Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, langkah itu akan menjadikan parti lebih kuat terutamanya menjelang pilihan raya umum dan negeri.

“Pada saya, kita ini orang Melayu, kena berpadu, kuatkan saf-saf, supaya orang tengok kita orang Melayu yang ada adat ini, salah macam mana pun kalau minta maaf dan benda boleh menjamin kekuatan parti, kita terimalah.

“Kita akan lebih kuat kerana kita kembali pada asas perjuangan kita, lagi pula kita nak menghadapi pilihan raya.

“Tak semestinya orang ini sudah buat silap, kita hukum selama-lamanya. Kesilapan itu pun perlu kaji juga,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Titian Perjalanan Sebuah Kehidupan’ di Open University Malaysia (OUM) di sini hari ini.

Beliau berkata, Hishammuddin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu beralah dan membuang ego kerana bimbang akhirnya membawa kerugian kepada parti.

“Saya berharap kedua-dua pihak perlu beralah. Kita faham Hishammuddin pertahankan prinsip sebab beliau tidak terima hitam putih penggantungan beliau, di peringkat MKT pun sebagai satu badan yang menguruskan parti, kena muhasabah jugalah, takkanlah masing-masing nak menegakkan ego, akhirnya parti yang rugi.

“Walaupun orang cakap sekarang parti dah stabil, tetapi adakah parti akan stabil seterusnya? Kita ini masih dalam kerajaan Perpaduan, jika kita bergerak solo, adakah ini beri impak yang baik? Kesan-kesan penolakan mereka yang dulu berjuang, yang banyak jasa akhirnya (parti rugi) kerana istilah mereka ini pengkhianat.

“Kita buka buka baharu lah. Buangkan yang keruh, ambil yang jernih,” katanya lagi.

Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO kekal dengan prinsip keterbukaan untuk menerima semula individu yang pernah digantung atau dipecat daripada parti terbabit.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, proses itu perlu melalui saluran dan prosedur yang betul seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Sehingga kini, dilaporkan, hanya dua surat rayuan rasmi diterima parti iaitu daripada bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Hishammuddin kemudian dilaporkan memberikan bayangan beliau tidak akan merayu penggantungan keahliannya, dengan menegaskan bahawa rayuan bukan penentu kesetiaannya kepada UMNO.

Beliau dilaporkan berkata, tidak pernah mengemukakan rayuan terhadap penggantungannya selama enam tahun itu sejak Januari 2023 kerana mendakwa tidak diadili sebaiknya dan enggan menggadaikan prinsip yang dipegang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast