Dua pekerja Indonesia maut dalam kemalangan libat sebuah bas dan dua lori di Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, Ayer Hitam, Batu Pahat malam tadi.

BATU PAHAT – Dua jenazah pekerja ladang warga Indonesia yang terkorban dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran dan dua lori di Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan di Ayer Hitam malam tadi akan dihantar pulang ke Lombok, Indonesia.

Konsul Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Jati Heri Winarto berkata, kedua-dua mangsa iaitu Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44, merupakan antara 55 pekerja ladang warga Indonesia yang baru tiba di negara ini.

Menurut Jati Heri, sebaik proses bedah siasat kedua-dua jenazah  selesai, urusan penghantaran pulang ke Lombok akan dilakukan.

“Keluarga kedua-dua mangsa maut sudah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Pihak konsulat akan cuba berbincang dengan pemerintah di negara ini untuk mendapatkan insurans dan pampasan termasuk daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.

Jelas beliau, kumpulan pekerja itu termasuk dua wanita tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 malam sebelum dibawa menaiki van untuk dihantar ke ladang sawit sekitar Johor Bahru.

Katanya, seramai 45 pekerja menaiki bas berkenaan manakala 10 yang lainnya menaiki sebuah van.

“Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nusiah yang mengalami kecederaan parah masih dirawat di unit kecemasan HSNI manakala 14 pekerja lain yang cedera ringan telah dibenarkan pulang dari hospital,” ujarnya.

Dalam kejadian pukul 12.27 tengah malam tadi, bas membawa 45 penumpang terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki dan lori tunda menyebabkan dua daripada mereka maut manakala seorang lagi parah.

Kedua-dua mangsa maut adalah penumpang bas manakala pemandu bas serta pemandu kedua-dua lori terselamat.

Kedua-dua mangsa maut adalah penumpang bas, manakala 14 penumpang lelaki, seorang penumpang wanita serta pemandu bas cedera sementara selebihnya iaitu 27 penumpang lelaki dan seorang wanita tidak cedera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast