Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menyarankan Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan membaca Akta Mahkamah Kehakiman 1964 khususnya Seksyen 9 berkenaan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Menurut Ahli Parlimen Bangi berkenaan, seksyen itu jelas menyatakan dalam situasi kekosongan kedua-dua jawatan berkenaan, kuasa dan tanggungjawabnya akan dilaksanakan oleh Hakim Besar Malaya.

Sehubungan itu, ujar beliau, tiada yang luar biasa atau janggal mengenai perkara tersebut kerana sudah pun diperuntukkan di dalam undang-undang.

“Seorang peguam kanan seperti Datuk Seri Takiyuddin seharusnya lebih arif tentang perkara ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas hari ini yang mempersoalkan keputusan melantik Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim untuk menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Menurut Takiyuddin, pelantikan Hasnah bagi memangku dua jawatan tertinggi kehakiman itu sebagai satu langkah pelik dan tidak pernah berlaku sekali gus mengundang kecurigaan besar.

Sementara itu, Syahredzan mengingatkan Takiyuddin yang mana selepas Tun Richard Malanjum bersara pada 12 April 2019, Tun Tengku Maimun hanya dilantik beberapa minggu kemudian iaitu pada 2 Mei 2019.

Sehubungan itu, ujarnya, adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa terdapat ‘kelewatan’ dalam lantikan Ketua Hakim Negara selepas baru beberapa hari jawatan tersebut kosong.

Tambahnya, pada peringkat ini juga, semua pihak wajar menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam mengisi kekosongan dalam jawatan tertinggi badan Kehakiman.

“Apa yang penting adalah kita semua berharap kekosongan itu diisi oleh seorang Ketua Hakim Negara yang dapat meneruskan legasi Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mempertahankan kebebasan dan integriti badan Kehakiman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast