Ahmad Zahid, Onn Hafiz dan Mohd Lassim (tengah) menyampaikan geran pemilikan Tanah kepada penerima selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – UMNO Bahagian Sri Gading sedia bertanding kerusi Parlimen Sri Gading yang kini disandang Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.

Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata, ini kerana Parlimen Sri Gading tersebut merupakan kerusi tradisi parti tersebut, selain sudah beberapa kali menang di kawasan berkenaan.

“Kita mengambil pendirian untuk bertanding kerana kami bukan parti komponen PH (Pakatan Harapan), jadi kita boleh bertanding mana-mana kerusi yang hendak ditandingi.

“Yang kedua, kalau mereka katakan Sri Gading ini kerusi tradisi PH, UMNO sudah sembilan kali menang bertanding dan PH baru dua kali. Jadi macam mana mereka boleh katakan kerusi tradisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading yang dirasmikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini hari ini.

Pada PRU-15, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan menang kerusi Parlimen Sri Gading dengan majoriti 4,000 undi menewaskan Mohd Lassim (Barisan Nasional/UMNO), Zanariyah Abdul Hamid (Perikatan Nasional/Pas) dan Mahdzir Ibrahim (Gerakan Tanah Air/Pejuang).

Mengulas lanjut, Mohd Lassim berkata, keputusan tersebut disokong menerusi usul UMNO Bahagian Sri Gading yang bermesyuarat hari ini.

Menurutnya, usul berkenaan sebulat suara dipersetujui kira-kira 1,000 perwakilan pada mesyuarat bahagian hari ini.

“Pada mesyuarat peringkat bahagian, semua perwakilan bersetuju dengan usul terbabit yang mana untuk mengekalkan kerusi ini kepada UMNO dan BN).

“Mesyuarat perwakilan adalah forum untuk ahli-ahli menyatakan pendirian, bertukar pandangan dan juga usulkan apa yang dirasakan penting untuk parti dan masa depan UMNO Sri Gading,” katanya.

Pada masa sama, katanya, UMNO Sri Gading menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan berhubung perdirian bertanding sama ada solo atau sebagainya.

“Tetapi kita UMNO Sri Gading ada 18,000 ahli dan 104 cawangan yang mana mereka menuntut presiden agar mengekalkan Parlimen Sri Gading kepada kita,” katanya

Terdahulu ketika berucap, Ahmad Zahid setuju dengan usul dibawa perwakilan UMNO Sri Gading dan menyerahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi UMNO Johor.

“Kita tahu di Sri Gading ini, ada sedikit masalah, saya tahu tapi itulah resolusi daripada UMNO cawangan dan bahagian yang hendakkan Parlimen ini kembali kepada UMNO.

“Saya setuju jadi kita serahkan kepada Menteri Besar tetapi tuntutan UMNO Sri gading wajib dipenuhi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast