GENTING HIGHLANDS – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuka tirai konsert eksklusifnya, Violet Skies: Dato’ Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars dengan penuh megah di Arena of Stars (AOS), Resorts World Genting malam tadi.
Konsert yang disaksikan oleh lebih 4,600 penonton itu diadakan sempena ulang tahun ke-30 penglibatan beliau dalam industri muzik tanah air yang bukan sekadar mengimbau detik nostalgia malah mempersembahkan sisi baharu penyanyi tersohor itu menerusi pilihan lagu, susunan muzik kreatif serta persembahan vokal dan gimik yang mengagumkan.
Lebih menarik, konsert Violet Skies itu akan bersambung lagi malam ini dengan pelbagai kejutan dan variasi persembahan yang dinanti-nantikan para peminat.

Antara momen yang mencuri perhatian termasuklah persembahan lagu-lagu yang jarang didendangkan secara langsung sekali gus memenuhi permintaan peminat daripada kalangan ‘SitiZoners’ seperti Pendirianmu, Beradu Di Khayalan, Sendiri, Tak Rela Berpisah Darimu, Cinta Tak Berganti, Bintang Malam dan Kita Kan Bersama.
Semua lagu dibawa dengan susunan muzik baharu yang menyuntik kelainan serta memberikan pengalaman istimewa kepada penonton.
Siti turut mempersembahkan lagu Tak Boleh Lupa daripada album Adiwarna (1998) yang melonjakkan namanya di persada seni dan turut membawa kemenangan dalam pertandingan antarabangsa Voice of Asia menerusi lagu Purnama Merindu.
“Album ini memang sangat istimewa buat saya kerana banyak kenangan dan kejayaan datang daripadanya,” kata beliau disambut sorakan peminat.
Dalam kejutan lain, Siti turut mengumumkan kini sedang menyiapkan sebuah album tradisional baharu yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.
“Album tradisional akan siap hujung tahun ini dan akan dipersembahkan dalam konsert tahun depan, insya-Allah,” katanya.
Malam konsert turut menyaksikan kelainan dalam persembahan lagu Sendiri apabila Siti menampilkan teknik suprano tinggi yang memperlihatkan bakat dan keupayaan vokal luar biasa beliau.
Lagu Seindah Biasa pula diberikan sentuhan comel dan santai lagi mencetuskan suasana ceria di AOS.
Elemen persembahan turut dihiasi dengan gimik menarik apabila Siti tampil dengan busana kimono sambil menari ketika menyampaikan lagu Kau Kekasihku.

Tidak ketinggalan, Siti turut menyanyikan medley lagu-lagu rock seperti Tika dan Saat Ini, Di Alam Fana Cinta dan Seribu Tahun Takkan Mungkin membuktikan kebolehannya yang mampu menguasai lagu pelbagai genre muzik.
Konsert malam tadi turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi jemputan Noh Hujan yang tampil berduet bersama Siti menerusi lagu Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap.
Mereka turut mempersembahkan semula lagu Bengawan Solo yang kali terakhir dibawakan bersama sekitar 15 tahun lalu.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan istimewa Amad Dayyan, anak kepada penyanyi Siti Saerah dan anak saudara kepada Siti sendiri yang berbakat besar sebagai penyanyi muda.

Antara selebriti dan rakan artis yang hadir memberikan sokongan malam ini termasuklah Aina Abdul, Nadia Brian serta influencer popular Mek Dinda dan Leeyana Rahman.
Lebih istimewa, pentas dan suasana konsert malam ini turut diserikan dengan tema warna ungu putih dan ungu hitam seiring dengan konsep Violet Skies.
Rata-rata penonton turut hadir mengenakan pakaian bertemakan warna ungu bertepatan dengan kod tema konsert dan menambahkan lagi kemeriahan suasana ‘Violet Skies’.
Biduanita Negara itu tampil menawan dengan tiga busana eksklusif hasil sentuhan pereka fesyen terkenal tanah air iaitu Ezuwan Ismail, Ashraff Zainal dan Samm Republic yang menyerlahkan lagi aura beliau sepanjang persembahan.
Selain lagu-lagu ikonik, konsert turut menjadi pentas pengenalan kepada dua karya terbaharu beliau iaitu Sesal ciptaan komposer Ombak Rindu yang menjadi runut bunyi filem Telaga Suriram serta Sejarah hasil ciptaan Erwin Gutawa yang mengangkat kisah perjalanan seni Siti yang penuh warna dan inspirasi.
Sebagai seorang Biduanita Negara yang disegani dan terus unggul, persembahan Siti membuktikan beliau kekal relevan, dicintai dan terus menjadi ikon seni tanah air yang tak terganti. – MalaysiaGazette
















