KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli akan mengadakan satu sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), pagi esok.
Perkara tersebut diumumkan sendiri Ahli Parlimen Pandan itu menerusi hantaran di media sosial beliau, hari ini.
Katanya, sidang media berkenaan akan diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, jam 9 pagi.
“Sidang media ini turut akan disiarkan secara langsung di platform-platform media sosial saya,” tulisnya ringkas tanpa memberikan sebarang maklumat terperinci berhubung agenda atau matlamat sidang media tersebut diadakan.
Perkara itu membuatkan ramai pemerhati dan peminat politik tanah air berteka-teki.
Ada yang meramalkan bekas Menteri Ekonomi itu bakal keluar parti namun terdapat juga yang masih mengharapkan Rafizi kembali menyumbang tenaga secara signifikan untuk mengukuhkan PKR.
Jumaat lalu, menerusi podcast Yang Berhenti Menteri, Rafizi memberi bayangan untuk meninggalkan PKR selepas tamat penggal Parlimen ini, sekali gus tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada ‘budaya’ politik yang ditunjukkan parti itu semasa pemilihan pada Mei lalu. -MalaysiaGazette















