KUALA LUMPUR – Masyarakat dunia perlu menuntut supaya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung keanggotaan Israel, sebagaimana badan itu pernah menggantung Afrika Selatan semasa era apartheid.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia susulan pembunuhan kapten pasukan bola sepak di Palestin, Muhannad Fadl al‑Lili oleh regim zionis pada 3 Julai lalu.
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) itu menambah, pada Jun lalu, sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, termasuk dua bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menulis bantahan kepada FIFA, membuktikan Israel dan Israeli Football Association (IFA) melanggar undang-undang antarabangsa kerana menganjurkan perlawanan di tanah Palestin yang dijajah.
“Cadangan penggantungan ini telah dikemukakan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Palestin sejak Mac 2024.
“FIFA tiada alasan untuk menangguhkan tindakan lebih lama.
“Bola sepak sepatutnya wadah keamanan, bukan alat propaganda untuk menutup jenayah perang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pemain bola sepak Palestin, Muhannad Fadl al‑Lili yang juga kapten pasukan Khadamat Al‑Maghazi maut selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah dalam serangan peluru berpandu Israel yang terkena kediamannya di kem pelarian Maghazi, Gaza Tengah.
Sementara itu, Zulkifli menambah, kematian Muhannad Fadl al‑Lili menambah angka korban sukan Palestin dengan data terkumpul, sekurang-kurangnya 585 atlet terbunuh sepanjang lebih 600 hari perang Israel ke atas Gaza, termasuk 265 pemain bola sepak.
Sebelum ini, katanya, dunia dikejutkan dengan kematian pemain bola Palestin, Mustafa Abu Amirah, yang terkorban ketika serangan ke atas al-Baqa Cafe di pantai Gaza, meragut nyawa sekurang-kurangnya 33 warga Palestin dan mencederakan sekitar 50 lagi.
Di lokasi sama, ujar beliau, Malak Musleh, peninju wanita termuda Gaza turut syahid.
“Sejak 7 Oktober 2023, Israel bukan hanya mengebom rumah dan sekolah, tetapi juga memusnahkan 264 fasiliti sukan, termasuk 184 yang hancur sepenuhnya.
“12 stadium yang dibiayai FIFA turut musnah, manakala selebihnya dijadikan tempat perlindungan pelarian.
“Ini bukan sekadar serangan rambang ke atas Gaza, tetapi serangan sistematik ke atas masa depan sukan Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette
















