KUALA LUMPUR – PUSPAKOM mengeluarkan peringatan kepada syarikat filem penapis haba dan runner kenderaan supaya tidak mengelirukan orang awam dengan menyalah tafsir peranan syarikat itu dalam pemeriksaan kenderaan, terutamanya berkaitan pematuhan cermin gelap.
Ia susulan pengedaran kad jaminan oleh jenama filem penapis haba terkenal yang mendakwa produk mereka “mematuhi Jabatan Pengangkutan Jalan” (JPJ) tetapi “tidak mematuhi PUSPAKOM”.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, berkata kenyataan itu mengelirukan dan tidak berasas sama sekali.
“Tidak wujud sebarang piawaian ‘pematuhan cermin gelap PUSPAKOM’. Kami tidak menetapkan peraturan kami sendiri. Kami hanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan mengaplikasikannya secara seragam dalam semua pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa PUSPAKOM mengecam keras perbuatan menggunakan nama syarikat itu untuk mewujudkan persepsi kononnya terdapat piawaian berbeza atau untuk menjustifikasikan kegagalan pemeriksaan akibat produk yang tidak mematuhi syarat.
“Kami tidak akan berkompromi dengan penggunaan nama kami untuk mengelak tanggungjawab. Sekiranya sesuatu kenderaan gagal dalam pemeriksaan, ia adalah kerana jumlah kadar Penembusan Cahaya Tampak (VLT) pada cermin dan filem penapis tidak memenuhi keperluan JPJ,” jelas Mahmood.
Menurut peraturan JPJ, kadar minimum VLT yang dibenarkan adalah 70 peratus untuk cermin hadapan; 50 peratus untuk cermin sisi hadapan; tiada had untuk cermin sisi belakang dan cermin belakang
Mahmood menjelaskan bahawa banyak kenderaan masa kini telah dipasang dengan cermin yang mempunyai lapisan gelap semula jadi.
Apabila filem penapis tambahan ditampal, walaupun filem itu secara sendiri mematuhi piawaian JPJ, keputusan pemeriksaan mungkin tetap gagal kerana bacaan VLT adalah jumlah gabungan daripada cermin asal dan filem tambahan tersebut.
“Semua cermin automotif mempunyai tahap asas penembusan cahaya walaupun tanpa filem ditampal. Contohnya, cermin kenderaan secara semula jadi telah menapis cahaya kerana warnanya yang kehijauan atau kebiruan,” katanya.
Mahmood turut menjelaskan bahawa kadar VLT yang diisytiharkan pada pembungkusan filem penapis biasanya diasumsikan apabila ia ditampal pada cermin jernih.
PUSPAKOM juga memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap runner yang menggunakan maklumat palsu untuk menekan pemilik kenderaan agar menanggalkan filem cermin mereka, atau meminta bayaran tambahan kononnya untuk “menyelesaikan” isu pemeriksaan.
“Kami menyeru semua pelanggan supaya melaporkan perlakuan tidak beretika seperti ini dan mendapatkan penjelasan terus daripada sumber rasmi PUSPAKOM. Proses pemeriksaan kami adalah telus, konsisten dan sepenuhnya berdasarkan peraturan JPJ,” tambah Mahmood.
Orang ramai digalakkan untuk menghubungi PUSPAKOM melalui laman web www.puspakom.com.my/contact-us atau talian Pusat Khidmat Pelanggan PUSPAKOM di 03-5101 7000 untuk maklumat tepat berkenaan keperluan filem cermin gelap dan urusan pemeriksaan lain. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















