Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melaungkan 'hidup UMNO' pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 JULAI 2025. (Gambar fail).

JOHOR BAHRU – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor tidak perlu gelabah dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu UMNO merampas kerusi pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Mohd Syes Mohamed menyifatkan kenyataan Penolong Setiausaha Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Muhammad Fauzan Md Yassin itu sebagai tidak tepat.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja tersasar malah menunjukkan kegagalan Armada membaca denyut sebenar rakyat di bawah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Muhammad Fauzan menyifatkan ucapan Ahmad Zahid ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading Sabtu lalu kerana sudah panik dan terperangkap dalam bayang-bayang ketakutan akibat penyusutan sokongan rakyat terhadap UMNO.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mahu UMNO merampas kerusi-kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada PRU akan datang.

Semalam, Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Muhammad Aswad Ithnain menyifatkan ucapan Ahmad Zahid itu sebagai satu ‘semboyan’ kebangkitan untuk parti.

Mengulas lanjut, Mohd Syes berkata, Armada masih terus mencipta persepsi sedangkan rakyat kini mahu perkhidmatan dan bukan ceramah atau retorik politik.

Jelas beliau, banyak perkara yang sudah dilakukan UMNO berbeza semasa Bersatu menerajui tampuk pemerintahan negeri.

“UMNO Johor terus bekerja bukan sekadar bersuara, kekal fokus kepada kerja nyata, bukan retorik. Di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Johor telah membuktikan pencapaian kukuh dalam masa singkat,” ujarnya.

Antaranya, kata beliau, RM30.1 bilion pelaburan dicatat pada suku pertama 2025 iaitu tertinggi dalam negara selain membuktikan keyakinan pelabur dan menjana ribuan peluang pekerjaan untuk anak muda.

“Juga RM27.2 bilion nilai jualan hasil pertanian direkodkan menjadikan Johor peneraju sektor pertanian negara menerusi Banci Pertanian 2024.

“Begitu juga 6.4 peratus kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2024 iaitu tertinggi di Malaysia dengan nilai keseluruhan KDNK Johor mencecah RM158 bilion,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast