Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bersedia menanggung akibat jika Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbang.

Amaran oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim susulan gesaan mereka supaya kerajaan  menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman negara.

Hassan mendakwa, tuntutan RCI yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli itu secara tersirat mendedahkan sembilan ahli Parlimen PKR tersebut sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan yang juga Presiden PKR.

“Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang banyak kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam hal perlantikan hakim kini menjadi seorang suspek yang tidak dapat lari jika RCI ditubuhkan.

“Sebagai suspek utama Anwar mesti disiasat oleh RCI. Ini adalah implikasi dari tuntutan 9MP Keadilan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, RCI hanya boleh dibentuk jika perdana menteri dan Kabinetnya bersetuju.

Tanpa persetujuan ini tuntutan tersebut hanya akan memburukkan lagi imej Anwar dan kerajaannya.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bercakap kepada media mengenai isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025.

“9MP PKR tersebut meletakkan Presiden PKR sendiri dalam bahaya. Apa yang 9 MP PKR itu lakukan sekarang seperti meletakkan tengkok Anwar Ibrahim di bawah guillotine seperti dalam Revolusi Perancis,” tambahnya.

Hassan mengakui walaupun isu kehakiman yang dibangkitkan ini adalah sah dan bermerit malah dilihat progresif serta popular dalam kalangan rakyat, tetapi ada risiko besar.

“Persoalannya, adakah sembilan ahli Parlimen ini bersedia menghadapi kejatuhan Anwar akibat tuntutan RCI ini?

“Jika jawapannya ya, maka jelas berlaku ‘pemberontakan dalaman’ dalam PKR sendiri,” tegasnya.

Hassan turut menambah, biarpun tindakan sembilan backbencher Kerajaan Madani ini dilihat sebagai contoh baik dalam demokrasi berparlimen tetapi dari segi politik parti, ia adalah revolt atau penentangan dalaman secara langsung terhadap Anwar yang mana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah PKR.

“Saya bimbang Anwar berada dalam keadaan bertahan manakala Kerajaan Madani pula dilihat semakin lemah dan hilang integriti berikutan isu kehakiman ini.

“Adakah mereka memikirkan kepentingan jangka panjang negara dan rakyat, mempertahankan cita-cita reformasi sebenar, serta mengutamakan perjuangan politik PKR dan tidak hanya sekadar kepentingan politik peribadi Anwar.

“Jika jawapan kepada persoalan itu adalah ya, maka tindakan mereka merupakan cabaran paling serius, sengit dan berani terhadap kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti,” katanya.

Jelasnya, tindakan ini juga jelas menunjukkan ramai pemimpin PKR terutamanya ahli Parlimen sudah hilang sabar dan kepercayaan, mungkin kerana melihat kerajaan ini telah melakukan banyak kompromi sehingga kelihatan hipokrasi.

“Apabila Anwar pulang dari lawatan luar negara, tugas utama beliau adalah untuk menangani tuntutan RCI dengan bijaksana.

“Penentangan backbencher dalam isu kehakiman ini bukanlah isu kecil, sebaliknya amat serius.

“Anwar sedang berhadapan dengan suasana seperti buku bertemu ruas di dalam partinya sendiri,” katanya.

Semalam, Rafizi dan lapan lagi ahli Parlimen menggesa supaya kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu reformasi institusi dan ketua hakim negara.

Kumpulan itu menegaskan ia kerana keputusan kes mahkamah kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Menurut Rafizi, beberapa maklumat yang kini tular dalam pengetahuan awam perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi kehakiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. kenapa PMX perlu simpan musuh dalam selimut. perlu tegas hukum orang yang letak racing dalam cangkir madu.

Comments are closed.