Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon ampun kepada Allah SWT dan meminta maaf kepada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran kata-kata berkenaan perumpamaan tentang malaikat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kenyataan itu lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.

Namun, jelasnya, beliau mengakui perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Beberapa hari ini, telah tular sebuah video yang mengaitkan ucapan saya menyatakan satu perumpamaan tentang malaikat yang diungkapkan dalam konteks tekanan yang saya hadapi ketika memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial ucapan Ahmad Zahid yang antara lain berkata: “Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden, malaikat pun lari malam…’ yang seolah-olah membandingkan cabaran yang terpaksa dihadapi beliau untuk menjadi Presiden UMNO.

Ucapan itu mencetuskan kemarahan umat Islam yang disifatkan keterlaluan termasuk mendapat teguran Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berharap kesalahan itu diperbetulkan memandangkan ia kini menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau menerima setiap teguran dengan hati terbuka dan percaya nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan.

Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast