KUALA LUMPUR – Kenaikan tarif timbal balik kepada 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia disifatkan hasil kegagalan kerajaan berperanan lebih aktif dalam diplomasi perdagangan.
Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP) berpandangan, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada eksport, Malaysia seharusnya lebih menjaga hubungan perdagangan strategik di antara kedua-dua negara.
Ketua DHPP, N. Balasubramaniam berkata, kenaikan tarif itu juga menunjukkan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjelaskan pendirian dan membina saluran rundingan serta mengelakkan tindakan balas keras daripada kuasa besar seperti AS.
Tambahnya, tindak balas AS itu juga membayangkan kegagalan Kerajaan Madani untuk menangani ketegangan perdagangan lebih awal, sama ada berkaitan dengan isu dasar perindustrian atau geopolitik.
Ujarnya, ia juga menggambarkan kegagalan dalam membina persefahaman bersama melalui diplomasi ekonomi atau dialog dua hala yang berkesan.
“Apa yang dikesali adalah sikap Anwar yang kerap menyatakan Malaysia sedang `mendepani pelaburan besar’ dan `disambut baik di pentas dunia’.
“Namun, hakikat bahawa AS masih mengenakan tarif berat mencerminkan bahawa hubungan perdagangan Malaysia-AS berada dalam keadaan rapuh, malah mungkin tidak dihormati sebagai rakan strategik yang benar-benar setara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keputusan AS menaikkan tarif timbal balik itu juga menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat sama ada Anwar lebih cenderung kepada retorik dan persepsi sedangkan rundingan substantif dengan kuasa besar ekonomi gagal mencapai hasil.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan berkenaan hasil lawatan kerja delegasi negara ke AS yang kononnya membuahkan pelaburan, tetapi gagal mencegah tindakan merugikan rakyat Malaysia sendiri susulan kenaikan tarif oleh AS berkenaan.
“DHPP Pusat melihat tindakan AS ini menunjukkan Malaysia gagal memposisikan diri secara berkesan dalam percaturan global, sekali gus rakyat terpaksa menanggung akibatnya sehingga menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan kepimpinan Anwar dalam menjaga kepentingan negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, walaupun hubungan perdagangan antara negara tidak bergantung sepenuhnya kepada seseorang individu, namun sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan perdagangan antarabangsa dan perlindungan kepentingan nasional. -MalaysiaGazette
















