Alias Rasman

JOHOR BAHRU – Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan masalah bekalan air, gaji minimum dan Hospital Pasir Gudang disiafatkan sebagai satu teguran kepada kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa dan gagal mengurus kebajikan rakyat.

Ketua Armada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor, Alias Rasman mendakwa, titah itu juga merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan.

“Titah ini juga merupakan satu ‘wake-up call’ kepada sebuah kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa, namun masih gagal mengurus perkara asas seperti gaji bermaruah, perkhidmatan kesihatan dan bekalan air bersih untuk rakyat.

“Armada Bersatu Johor menyatakan komitmen penuh untuk menyokong segala usaha yang selari dengan titah Tunku, demi mengangkat martabat rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Armada Johor akan terus mendesak agar kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan berhenti berpolitik serta mengejar kepentingan politik semata-mata.

Sebaliknya tegas beliau, kerajaan perlu mula bekerja dengan komitmen sebenar demi rakyat.

“Sesungguhnya kami percaya bahawa kesejahteraan Bangsa Johor adalah amanah yang wajib dipelihara bersama,” katanya.

Semalam Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah dan menyentuh berkenaan bekalan air, gaji minimum serta perkembangan terkini Hospital Pasir Gudang.

Baginda bertitah Johor mensasarkan beberapa pembinaan infrastruktur air mentah yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri.

Bagi gaji minimum pula, Tunku Mahkota Ismail menasihatkan pelabur atau syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Sementara Hospital Pasir Gudang pula, baginda mahu supaya segera menempatkan petugas kesihatan sebelum hospital itu beroperasi pada Ogos ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast