Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul ketika sidang media khas bagi menjelaskan pendirian serta tindakan susulan Malaysia berhubung pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat di Menara MITI. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal optimistik tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara ini masih dapat dikurangkan kepada satu nilai yang bersifat menang-menang bagi kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan kesediaan AS untuk meneruskan rundingan dengan Malaysia dan tidak menutup pintu sepenuhnya terhadap negara ini.

Malah beliau juga akan meneruskan rundingan itu secara atas talian bersama wakil Wakil Perdagangan AS (USTR) selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berhubung isu terbabit.

“Kita optimistik (dapat mengurangkan tarif) sebab itu kita meneruskan rundingan dan yang penting AS juga masih lagi mahu berunding dengan kita.

“Jadi, apabila kedua-dua pihak mahu berunding maksudnya masih lagi ada peluang untuk kita menyelesaikan isu tarif ini.

“Dan kita juga masih ada masa (sehingga 1 Ogos ini) walaupun masa itu singkat tetapi kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan kita mencapai situasi menang-menang dengan AS,” katanya katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat MITI di sini hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul ketika sidang media khas bagi menjelaskan pendirian serta tindakan susulan Malaysia berhubung pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat di Menara MITI. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JULAI 2025

Sidang media itu diadakan bagi memberi penjelasan berhubung perkembangan terbaharu susulan keputusan Presiden AS, Donald Trump semalam, yang menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara yang dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus iaitu meningkat berbanding 24 peratus seperti pengumuman awal pada 1 April lalu.

Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik ke platform Truth Social, Trump mengumumkan, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.

Sementara itu, Tengku Zafrul mengulangi pendirian yang mana Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek kedaulatan undang-undang dan dasar serta polisi negara dalam rundingan bersama AS berhubung isu terbabit.

Jelas beliau, antara perkara yang perlu dipertahankan Malaysia menerusi rudingan itu adalah dari segi cukai digital, undang-undang dalam perdagangan digital serta standard-standard yang dipertahankan oleh beberapa agensi kerajaan berkait aspek pertanian, farmasi dan kesihatan.

“Kita tidak mahu sekadar mencapai persetujuan dalam rundingan dengan AS berhubung perkara ini.

“Jika rundingan memberikan kelebihan kepada Malaysia dan syarikat di negara ini, ya kita akan bersetuju tetapi jika perjanjian itu tidak menguntungkan kita, maka kita tidak sepatutnya bersetuju.

“Kita perlu tegas dengan pendirian ini, kita memasuki rundingan bukan sekadar untuk bersetuju, itu bukan bagaimana perbincangan harus berlangsung.

“Persetujuan itu harus adil, komprehensif dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast